Jemput-Jemput Manis Rangup Dan Sedap. Selamat berhari minggu kekawan semua. Dah sarapan semua? Hujung minggu ni ada 2 hari tak kerja sebab cuti Deepavali. Warung sarapan pun banyak yang tutup. Anak bujang kecil kat rumah ni asyik lapar je. Hmm.. Tengok peti ais apa yang ada, semua frozen food macam karipap, popiah, kuih pau dah habis. Licin.. Call delivery semua dah penuh. Yang ada tepung gandum je. Datang idea nak buat jemput-jemput manis supaya senyum sikit anak bujangku itu. Dia kalau lapar masam memanjang.. hehe...
Okaylah.. jom kita masuk dapur buat jemput-jemput manis dan rangup. Memang rangup betul la, diluar rangup di dalam manis. Tengok resepinya di bawah.
Jemput-Jemput Manis Rangup Dan Sedap
Bahan-bahan:
1 mangkuk tepung gandum
3 sudu makan gula
2 sudu kecil soda bikarbonat
2 sudu makan tepung jagung
Sedikit garam
Air secukupnya untuk mengadun bahan-bahan di atas
Minyak untuk menggoreng
Cara menyediakan jemput-jemput manis rangup dan sedap
1. Campurkan semua bahan di atas iaitu tepung gandum, tepung jagung, gula, soda bikarbonat.. gaul rata dulu.
2. Masukkan air yang telah dibancuh dengan garam, dan gaul rata semua bahan. Kacau sehingga adunan cair sederhana, bukan macam buat lempeng. Cair yang masih lekat di tangan.
3. Goreng di atas api yang sederhana panas, hingga kuning keperangan.Jemput-jemput akan cepat hitam sebab ada gula. Jadi, sentiasa jaga api dan balik-balikkan agar jemput-jemput tak hangus.
Angkat dan toskan bila dah masak.
Siap dah jemput-jemput manis kita. Oleh kerana saya campurkan sedikit tepung jagung, jemput-jemput anda akan rangup di luar dan lembut di dalam. Memang sedap la..
Selamat mencuba. Resepi yang bagus untuk newbies kat dapur.. Hehe
0 Comments